Friday, 22 July 2011

KENYATAAN AKHBAR PAJIM BERKAITAN DENGAN PENGHARAMAN PUSAT HIBURAN DI BULAN RAMADHAN

KENYATAAN AKHBAR
OLEH
PERSATUAN ANAK JATI MELAYU PULAU PINANG (PAJIM)
BERTARIKH 16 JULAI 2011


  1. PAJIM menyokong penuh kerajaan negeri Kedah mengharamkan pusat hiburan yang tidak sihat pada bulan Ramadhan.  Ini bersesuaian dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 3 yang menyatakan ‘Agama Islam adalah Agama Persekutuan tetapi Agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan’.
  2. Oleh itu mana-mana aktiviti yang bertentangan dengan ajaran agama Islam terutama di bulan Ramadhan hendaklah diberhentikan buat sementara waktu. Ditambah pula pusat hiburan seperti disko dan kelab malam adalah salah satu bentuk hiburan yang tidak sihat.
  3. Pemberhentian sementara ini juga dilihat tidak melanggar hak asasi orang-orang bukan Islam kerana tidak ada satu agama pun yang mengatakan hiburan yang tidak sihat seperti disko dan kelab malam ini baik untuk masyarakat. Sesuai dengan konsep 1Malaysia, perkara ini perlu dilihat sebagai salah satu cara kita saling menghormati antara kaum dan agama di Malaysia dimana kita hidup dalam kepelbagaian kaum dan agama.   
  4. Kami menggesa semua negeri di Malaysia menghentikan operasi disko dan kelab-kelab malam pada bulan Ramadhan yang merupakan bulan ibadah dan bulan suci bagi umat Islam, selain menghormati agama Islam sebagai Agama Persekutuan.
  5. Dengan ini kami menyeru agar kerajaan pusat dan semua kerajaan negeri, terutama negeri Pulau Pinang melalui Ketua Menterinya, YB Lim Guan Eng mendasarkan pemerintahannya atas asas ‘Amar Makruf Nahi Mungkar’ sepertimana yang beliau laung-laungkan sebelum ini.
  6. PAJIM juga ingin menegaskan sebarang aktiviti atau operasi yang tidak menghormati agama Islam di bulan Ramadhan sama seperti tidak menghormati perlembagaan persekutuan.

YDP PAJIM
YUSOFF MOHAMAD



No comments:

Post a Comment